Sunday, 27 April 2014

Tahniah ! SK Setiawangsa


di atas pelbagai anugerah, pengiktirafan dan kemenangan.

Terdahulu, pada  18 April 2014 bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC), telah diadakan MAJLIS ANUGERAH TAWARAN BAHARU KEPADA GURU BESAR TAHUN 2013;
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan

Kewibawaan dalam kepimpinan menghadirkan satu lagi anugerah buat Guru Besar SK Setiawangsa SBT; Tuan Haji Ruslan bin Madon dalam satu majlis khas yang disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia).

Tahniah diucapkan kepada Tuan Guru Besar dan semua warga kerja SK Setiawangsa SBT serta PIBG yang menjadi tulang belakang merealisasikan anugerah buat kali keempat berturut-turut ini.

Kemudian pada 19 April 2014 (Sabtu) pula bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) telah diadakan Majlis Anugerah PIBG Peringkat Kebangsaan.

Tahniah kepada PIBG SK Setiawangsa SBT kerana telah dinobatkan sebagai JOHAN

bagi ANUGERAH PIBG CEMERLANG TERBAIK KESELURUHAN PERINGKAT KEBANGSAAN 2013

Sekalung tahniah kepada Guru Besar, YDP PIBG, AJK PIBG, barisan GPK, guru-guru, warga kerja dan KSIB SK Setiawangsa SBT atas penganugerahan tertinggi untuk PIBG dan SKS khususnya.

Guru Besar (Tn. Hj. Ruslan b. Madon) di Majlis Anugerah Tawaran Baru kepada Guru Besar Tahun 2013
YDP PIBG menerima hadiah daripada Menteri Pendidikan Malaysia
sempena Majlis Konvensyen dan Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012/2013


Keratan Akhbar :

Iktiraf kepemimpinan sekolah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Shah Alam: Warga pendidik khususnya guru besar diingatkan menguruskan sesebuah sekolah secara berkesan bagi menangani cabaran termasuk memastikan semua sumber di bawah kawalan mereka beroperasi dengan matlamat sama.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keberkesanan pengurusan sesebuah sekolah perlu dilaksanakan sejajar dengan keperluan dan persekitaran semasa terutama hasrat rakyat dan aspirasi sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, penganugerahan insentif anugerah Tawaran Baru Guru Besar (TBGB) 2013 berjumlah RM23.2 juta bertujuan mengiktiraf kepemimpinan sekolah yang berkesan bagi menghasilkan matlamat seperti dihasratkan kerajaan.
Menurutnya, bagi 2013, sebanyak 566 sekolah dan 622 guru besar dan lapan guru penolong kanan melepasi saringan termasuk memperoleh sijil audit tanpa teguran serta tiada kes tata tertib.
“Daripada jumlah itu, 209 daripadanya adalah sekolah bandar, sekolah luar bandar (302) dan sekolah pedalaman (55).
Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian tahun 2012 iaitu 180 sekolah bandar dan 280 sekolah luar bandar menerima anugerah berkenaan.
“Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang menerima anugerah itu juga meningkat daripada 54 kepada 74 sekolah, begitu juga dengan SJK Tamil yang turut berlaku peningkatan penerima anugerah daripada 45 kepada 54 sekolah,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Tawaran Baru Guru Besar Tahun 2013, di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, daripada keseluruhan penerima anugerah TBGB, 119 sekolah menerima anugerah empat kali berturut-turut.

“Saya ingin menarik perhatian tuan puan dengan kejayaan satu-satunya sekolah Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Tasik Chini, Pekan, Pahang pada tahun ini,” katanya.
Menurutnya, dijangkakan seramai 22,063 warga sekolah terdiri guru besar, guru serta anggota kumpulan pelaksana akan mendapat manfaat daripada ganjaran berkenaan.
Katanya, mulai tahun ini, pembayaran ganjaran akan diperluaskan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Pegawai Perkhidmatan Negeri yang berkhidmat di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
“Anugerah tawaran baru ini adalah indikator utama ke arah pembentukan modal insan holistik yang diharapkan mampu berdepan cabaran abad ke-21.
“Sesungguhnya kejayaan ini melambangkan kebolehan tuan-tuan dan puan-puan memberi inspirasi kepada warga sekolah.

Bagi Kementerian Pendidikan, saya mengharapkan kejayaan ini menyuntik semangat untuk melipatgandakan usaha untuk memperkukuhkan dan meningkatkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/19
Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Iktirafkepemimpinansekolah/Article/index_html

Pemberitahuan

Pekeliling